Monday 23 March 2015

Pameran Sempena KHAT'9



Bismillahirrahmanirrahim

Kali ini team campaign of covering aurah properly (cocap) bakal mengadakan pameran bersempena program Hari Terbuka Kolej Harun Aminurrashid kali ke 9.

Pada pameran kali ini, sasaran kami adalah mahasiswa/i UPSI muslim dan dan non muslim.. InsyaAllah dengan tema pameran yang lebih santai kali ini " The Best Selfie "

Nak tahu lebih lanjut? apa yang ingin kami bawakan dalam pameran kali ini, jemputlah beramai ramai memeriahkan Pameran #cocapkhat9 

Semoga bermanfaat.

**Ikuti update terkini di page kami

Monday 16 June 2014

SHARE YOUR LOVE #007 [KAU TEMAN DAN GURU]





“…Jauh ku menunggu,
Biar ketahuanmu
Di sini ku merindu,

Jauh ku berharap,
Kembali kau padaku,
Akhiri penantianku…”


“Hoi!”, sergah kawan baikku, Aifa Farihin, dari belakangku. Leka ku menghayati bait-bait lagu nyanyian penyanyi yang kian masyhur namanya dalam industri hiburan kini, Alif Satar, sampai tidak sedar akan kehadiran rakanku ini. Entah bila agaknya dia masuk dalam bilik ini. “Aifa, Aifa”,detik hati kecilku. Aku memperbetulkan kedudukanku yang tadinya meniarap di atas katil bersebelahan dengan radio kesayanganku, duduk berhadapan dengan dengan Aifa. Entah apa pula cerita a.k.a gossip yang ingin dikongsikan.


“ Kenapa datang sini?Ada storylah tu.” Kataku cuba menebak.
“Alah, kau ni. Macam tak suka je aku datang sini. Yelah, orang tu kan tengah layan lagu jiwang tadi. Apa tajuknya? Akhiri penantianku?,” balas Aifa panjang lebar dengan lagaknya yang macam ala-ala diva tu. Aku hanya ketawa kecil melihat gelagat Aifa sejak tadi.Tak reti duduk diam. Tangan dia tu kalau bercerita, asyik bergerak je. Macam gaya mak cik- mak cik dekat pasar pun ada juga.


“ Kau ni,Aiza. Tak payah nak akhiri sangatlah penantian kau tu. Penantian kau tu takkan berakhir tau.”Aifa menyambung kata-katanya yang membuatkan aku terkedu.Aku menarik muka.Riak wajahku berubah.Sedikit sebak terasa di hati ini. Aifa sedar akan perubahanku dan berasa bersalah kerana kelancangan mulutnya berbicara. Aifa mendapatkan aku lalu menarikku ke dalam dakapannya.

“Maaf,Aiza. Aku tak berniat nak buat kau kecil hati.Aku terlepas tadi. Kau pun tahukan, aku ni kalau dah bercerita semua benda aku cakap. Kadang-kadang kepala otak aku ni senget sikit. Maafkan aku ye Aiza.” Berkali-kali Aifa memohon maaf atas keterlanjuran katanya.Gontai aku melonggarkan pelukannya.

“Apa yang kau cakap tadi tak salah pun. Bahkan kau buat aku sedar yang aku tak patut tunggu orang yang dah tiada,kan?” Aku mula mengatur bicara.Kasihan aku melihat Aifa yamg serba salah sebegini rupa.Ku ukirkan senyuman padanya tanda aku tidak memarahinya lagi.Sesungguhnya perangai Aifa seperti anak kecil.Walaupun kadang-kadang bicaranya pedas tapi dia mempunyai hati yang luhur dan baik.


Penantianku?Ya, penantian yang dikatakan Aifa adalah penantian aku terhadap seorang insan yang telah banyak membantu aku.Tapi apakan daya, Tuhan lebih menyayanginya.Siapa insan itu?Orang itu ialah Mohd Syarul Ridzwan.Aku lebih mengenalinya dengan panggilan Syarul.Dia merupakan teman aku ketika aku di bangku sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.Kami merupakan tiga sekawan iaitu antara aku, Aifa dan Syarul. Syarul seorang pelajar yang cerdik dan sangat optimis.Aku senang berkawan dengannya.Dari kecil aku sudah menganggapnya seperti cikgu. Kenapa?Kerana dia banyak mengajarku erti kehidupan.Sememangnya dia merupakan ‘buku rujukan’ bagi aku sekiranya ada matapelajaran yang tidak dapat dicerna oleh otakku dengan baik. Kami sememangnya rapat. Mungkin faktor kami dari pusat jagaan anak-anak yatim yang sama dan mempunyai sejarah hidup yang hampir serupa.

Pernah suatu hari setelah pulang dari sekolah, aku merungut sendirian kerana aku tidak faham apa yang diajarkan oleh cikgu matematik tadi. “Macam nak tercabut kepala ni fikirkan formula yang cikgu ajar tadi.”Aku mengomel dan terus mengomel.Sedang aku duduk di kerusi sambil membuka sarung kakiku, Syarul mengambil tempat di sebelahku.Dia mengeluarkan ayat yang mudah dan ringkas namun memberikan maksud yang mendalam. Katanya,”Guru itu adalah wasilah iaitu perantaraan. Dia hanya mengajar tapi kefahaman itu datangnya dari Allah.” Dengan kata-katanya itu maka, fahamlah aku apa yang cuba dia sampaikan. Mungkin salah aku juga kerana aku kurang menjaga hubungan aku dengan Sang Pencipta.Sedangkan Syarul sangat menitikberatkan hal-hal keagamaan seperti solat, puasa dan adab-adab kita sebagai penuntut ilmu.

Walaupun usia kami sebaya tapi pemikirannya cukup berbeza. Matang. Wajahnya yang kuning langsat dan mempunyai lesung pipit di pipi sebelah kanannya menyerlahkan lagi ketampanannya.Aku tahu sepanjang aku berkawan denganya, banyak mata-mata yang memerhati dan ramai gadis yang gigit jari.Walaupun mungkin Syarul tiada apa-apa perasaan padaku tapi hati kecil ini tak boleh menafikan bahawa memang aku sukakan Syarul. Namun, aku selindungkan perasaan ini kerana takut ianya akan memusnahkan persahabatan yang lama terbina.

Tatkala aku gembira, dia sering mengingatkan aku supaya bersyukur atas nikmat Ilahi. Tatkala aku bersedih , dia sering memberi semangat kepadaku dengan mengatakan bahawa Allah sentiasa ada dengan orang-orang yang sabar. Tatkala aku bangga, dia sering menasihatkan aku supaya sentiasa berpijak di bumi nyata.Tatkala aku melakukan kesilapan, dia sering menegurku. Katanya,”Jadilah muslimah solehah kerana itulah sebaik-baik perhiasan di dunia ini.” Tatkala aku di runtun pilu, dia sering mengajakku kembali kepada Al Quran dan mengadu kepada Nya.Tatkala fikiran berkecamuk memikirkan tentang pelajaran, dia sentiasa hadir memberi sokongan dan tunjuk ajar.Penerangannya yang ringkas dan padat membolehkan aku memahaminya dengan mudah berbanding di sekolah.Dia sering berkata bahawa ini semua ilmu Allah dan kefahaman itu datang dari Nya.

Sering dia ingatkan bahawa hidup ini jangan alpa dan leka, takut-takut nanti dihanyutkan oleh arus pemodenan dan budaya barat. Acap kali dia berkata bahawa hidup di dunia ini suatu persediaan untuk kita bersiap siaga menuju ke alam ‘sana’.



Setiap satu kalimah yang diucapkannya masih segar diingatanku. Walaupun sudah hampir lima tahun dia meninggalkan aku dan Aifa. Mungkin kisah cintaku tidak kesampaian tetapi biarlah persahabatan kami ini berkekalan hingga ke syurga. Kerana kau,Syarul, aku mengerti ertinya persahabatan, pengorbanan, agama dan ketaqwaan. Mungkin kau insan biasa tetapi bagiku kau merupakan anugerah Tuhan  untuk membimbingku dan menggantikan kedua ibu bapaku yang mengajarku hakikat sebenar kehidupan dunia kerana kau teman dan guruku. Semoga aman kau di sana.





_Ifa Arifin

Tuesday 10 June 2014

SHARE YOUR LOVE #006 [Lelaki Tua Itu]



Lelaki tua itu.
Tidak pandai berkata-kata,

Tapi diamnya telah mengajar aku untuk menjadi manusia,
Wajah kosongnya tiada riak bercanda,

Tapi wajah itu mengajar aku terima apa seadanya,
Tangan kasar itu tetap sama,

Mengajar erti kerja keras untuk berjaya,

Ya..
Lelaki tua itu,
Guru selamanya,

Seorang Abah tercinta..



_ipin

SHARE YOUR LOVE #005 [Guru Mengubah Hidup]





Guru adalah orang yang mendidik kita sama ada di sekolah atau di rumah.
Ibubapa juga turut mendidik kita semasa kecil hingga membesar.

Saya memang seorang yang pendiam apabila di sekolah 
kerana saya fikir semua guru amat garang.
Sehinggalah seorang guru yang bernama cikgu Haslinda.

Beliau mengajar saya pelajaran matematik.
Beliau sering memberi dorongan dan sokongan terhadap saya.

Lama kelamaan,saya semakin suka bertanya kepada guru.
Saya juga mula mendapat ramai rakan-rakan yang baik 
tidak kira lelaki ataupun perempuan.

Semasa saya darjah empat saya mempunyai ramai rakan.
Saya mendapat guru bahasa Malaysia yang amat bijak dan tegas.
Sudah tiga tahun beliau mengajar.
Bagi beliau,kelas kami yang paling bising dan bodoh.

Sampai tiba masanya hari menjawab peperiksaan UPSR.
Saya bercadang dengan semua rakan kelas saya untuk
 menunjukkan kepada beliau bahawa kami tidak bodoh.

Keputusan UPSR yang ditunggu telah pun tiba.
semua rakan kelas saya mendapat markah yang tinggi.
beliau amat terkejut dengan keputusan kami.
Sejak hari itu,beliau sering menjadikan kami semua 
sebagai bekas murid contoh yang baik.





-azie-

Monday 9 June 2014

Share Your Love #004 [Surat dari Kakak]





Assalammualaikum ibu,Kakak menulis surat ini untuk ibu kerana kakak rindukan ibu. Kakak sayangkan ibu dan kakak sangat perlukan ibu.Kakak harap ibu membaca surat ini tanpa beremosi kerana kakak hanya mengimbas kenangan kakak bersama ibu supaya ibu tahu kakak sangat menghargai setiap pengorbanan dan tunjuk ajar ibu kepada kakak.Coretan ini kakak tujukan khas buat ibu :

Terima kasih ibu,tanpa ibu mungkin kakak tidak seperti sekarang.Ibu,jika kakak mampu kembalikan masa lalu,akan kakak kembalikan ! Ini semua untuk ibu!Namun masa terus berjalan, dan  terus berjalan tanpa henti,kakak tidak meyesal ibu ! Namun kakak sangat terkilan kerana pernah menjadi anak yang selalu melukankan hati dan  perasaan ibu.Ya!Masa kecil kakak sepatutnya menjadi zaman bahagia dan indah untuk ibu,tapi kakak hancurkan dengan kedegilan dan kenakalan kakak sehingga membuat ibu terluka hati.Ibu,maafkan kakak!maafkan kakak!maafkan kakak ibu!Tidak terniat untuk kakak melukakan dan membebankan ibu dengan sikap kakak sebegitu.

Ibu,Adakah ibu masih mengingati zaman itu?Apabila mulanya zaman persekolahan kakak,ibu tidak pernah mengeluh bekerja mencari wang lebih membantu ayah untuk menampung perbelanjaan keluarga.Disaat itu,Kakak terasa diri ini tersisih jauh dari ibu,Kakak mula melawan  di setiap nasihat ibu.Kakak menengking ibu dengan kata-kata kesat, walhal umur kakak ketika itu hanyalah  ‘Setahun jagung’ iaitu sembilan tahun.Pembelajaran kakak sangat merosot ibu,entah bagaimana ibu pernah terlepas cakap. ‘’Budak lain darjah  tiga dah pandai baca,tapi kakak, dah macam ibu tak hantar pergi sekolah!Malu ibu kakak!Malu!!’’.Disaat itu,kakak lihat airmata ibu mengalir menemani marah dan kecewa ibu.Saat itu juga ibu mengambil rotan dan merotan kakak semahunya.Kakak menangis sehinggalah kakak tertidur.Setelah kakak tertidur,Kakak tersedar seperti seseorang sedang menangis,Ya!Ibu sedang menyapu minyak di bahagian badanku yang bengkak sambil mengalirkan airmata dan sesekali ,Nampak ibu sedang menyapu airmatanya  entah berapa kali.Maafkan kakak ibu!


Selang beberapa hari selepas kejadian itu,ibu nekad untuk berhenti kerja dan telah menumpukan perhatian sepenuhnya pada pembelajaran kakak.Setiap malam,selepas pulang daripada mengaji Al-Quran,ibu telah menyediakan sebuah buku latihan dan   rotan hampir dengan ibu.Kakak duduk dihadapan ibu dan segera ibu membuka dan meletakkan buku itu di hadapan kakak.Ibu menyoal dan terus menyoal,Apabila tiada jawapan dari mulut kakak,zapppp.....hujung rotan hinggap di peha kakak.Begitulah sehingga kakak pandai membaca.Entah berapa kali kakak dirotan setiap kali ibu mengajar.Masih ingatkah ibu?Tanpa rasa jemu,ibu sabar dengan kakak,setiap kali ibu rotan,ibu selalu kata  “ibu rotan sebab ibu sayang,ibu nak anak ibu pandai,ibu taknak kakak susah macam ibu’’.Kini baru kakak sedar betapa pentingnya pesanan dan kata-kata ibu itu.

Alhamdulilah,akhirnya kakak sedar bahawa setiap nasihat dan bebelan ibu sangat berguna.Walaupun kakak tidak sepandai dan secerdik  kanak-kanak lain,cukuplah kakak menjadi kebanggaan  kepada ibu.Ibu,terima kasih kerana telah merotan kakak.Jika tiada yang merotan kakak saat itu,mungkin kakak bukan siapa-siapa dimata ibu,Sekurang-kurangnya kakak gembira melihat ibu tersenyum panjang melihat kejayaan kakak.Walaupun kini ibu tidak mampu lagi merotan kakak,namun kakak harap tangan yang merotan kakak akan terus kekal mengusap dan mencium dahi kakak.Nasihat dan setiap kata-kata ibu akan menjadi pembakar semangat kakak sampai bila-bila.Sememangnya pada kakak tiada guru yang sehebat ibu.





_nur


Thursday 29 May 2014

Share Your Love #003 [Kasihmu Hingga Ke Hujung]




10 Februari 2012 
tarikh perginya Haji Abdull Malik Bin Mohd Isa, seorang insan yang telah mendidik dan mengajar aku erti sebuah kehidupan. “Tok Wan'' , itulah panggilanku dan adik-adik kepadanya. Tok Wan hanya insan biasa yang tidak pernah mengeluh untuk membesarkan dan menjaga cucu-cucunya dengan penuh rasa tanggungjawab dan mencurahkan kasih sayang yang tak terhingga kepadaku dan adik-adik. Walaupun Tok Wan sudah tiada di sisi kami lagi jasa Tok Wan dan segala tunjuk ajar tetap aku ingat dan amalkan sehingga kini.

“ Ika, Tok Wan minta maaf sebab tak dapat jaga hang masa hang nak SPM. Hang buat elok-elok na” tutur Tok Wan dengan sayu menahan kesakitan dan berat hati untuk meninggalkanku. Aku memeluk erat tubuh tua itu kerana terlalu sedih mengenangkan Tok Wan yang masih memikirkan diriku walaupun Tok Wan tahu dirinya tidak sesihat dahulu. Saat itu semangat untuk menghadapi peperiksaan SPM semakin luntur kerana memikirkan yang aku akan ditinggalkan bersama nenek saudaraku yang kebetulan tinggal berhampiran dengan rumah kami. Namun, aku harus terus berjuang untuk mendapatkan keputusan SPM yang terbaik sebagai tanda menghargai jasa Tok Wan yang sudah bersusah payah membesarkanku sejak aku berumur 6 tahun.

Aku merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik. Aku dihantar oleh mak dan ayah untuk duduk bersama atok dan Tok Wan di Taiping. Waktu itu aku sudah berumur enam tahun dan akan ke tadika Islam di sana. Perasaan apabila berjauhan daripada mak dan ayah sudah tentulah sedih. Setiap hari aku menangis mahukan mak dan ayah. Setiap kali itu juga Tok Wan akan berkata, “ Hang toksah dok gatai nak menangis. Mak ayah hang nak pi kerja”. Daripada pandangan pertama aku terhadap Tok Wan ialah Tok Wan seorang yang garang. Al maklumlah bekas warden di Penjara Taiping. Garang dan berdisiplin merupakan sifat wajib sah sunat bagi Tok Wan.




Januari 2000
Aku melalui zaman kanak-kanak dengan berjauhan daripada mak dan ayah. Kini, aku hanya ada atok dan Tok Wan yang akan menjagaku. Rutin harian aku sangat membosankan berbanding kanak-kanak yang seusia denganku. Mengapa aku berkata begitu? Biar aku ceritakan pengalaman aku sewaktu bersekolah di tadika.
Setiap pagi atok akan mengejutkan aku untuk ke tadika. Aku akan bersiap sendiri untuk ke tadika. Tiada mak yang akan membantu aku. Semuanya aku lakukan sendiri. Selepas bersarapan tokwan akan menghantar aku ke tadika menaiki motosikal kesayangannya. Hari pertama aku di tadika aku seperti rusa masuk kampung. Aku melihat kanak-kanak yang sebaya denganku bermain riang di padang. Aku hanya menyendiri kerana tidak mempunyai teman di situ sehinggalah aku berkenalan dengan Nurul Syahirah. Dialah sahabat baik aku sehingga kini. Di tadika, aku mengalami masalah untuk bercakap seperti mereka kerana mereka menggunakan loghat utara. Aku terpinga-pinga melihat mereka berbual sesama mereka. Terdetik di hatiku kenapa mereka bercakap macam Tok Wan dan atok di rumah. Walau bagaimanapun masalah ini hanya seketika sahaja. Selepas dua bulan tinggal di Taiping aku sudah pandai menggunakan loghat utara. Yeay! Hehe.
Tok Wan akan datang menemaniku waktu rehat setiap hari tanpa gagal. Tok Wan membelikan apa sahaja yang aku inginkan. Walaupun Tok Wan garang tetapi kadang-kala sweet juga. Hehe. Tok Wan sangat menepati masa. Tok Wan akan menjemputku pulang dari tadika tepat pada masa. Aku selalu juga dimarahinya kerana lambat keluar dari kelas. Sejak itu, aku belajar untuk menjadi lebih berdisiplin dan menepati masa.
Tugas Tok Wan menghantar dan menjemputku berterusan sampailah aku sudah masuk tingkatan lima. Tok Wan masih setia menjaga dan mendidik aku tanpa mengeluh. Kali ini bukan aku seorang sahaja yang perlu dijaga oleh Tok Wan malah dua orang adikku juga dijaganya. Makin bertambah tugas Tok Wan.




September 2006
 Hari ini keputusan UPSR akan keluar. Hatiku berdebar-debar menanti pengumuman daripada Guru Besar. Apabila kami yang berada di kelas dibenarkan turun ke bawah untuk melihat  keputusan yang ditampal di papan kenyataan, aku masih berfikir apakah keputusanku itu cukup baik dan mampu membuatkan Tok Wan dan atok gembira atau aku akan dimarahi kerana tidak belajar bersungguh-sungguh. Berebut-rebut kami untuk melihat keputusan masing-masing. Bila tiba giliran aku, aku tercari-cari namaku dan aku mula mengira jumlah A yang terpapar di atas kertas putih itu. 1A...2A..3A..4A......5A!!!! Alhamdulillah. Aku tersenyum puas dengan kejayaanku ini. Aku segera menelefon ayah dan atok di rumah. Atok memberitahu bahawa Tok Wan akan datang ke sekolah untuk melihat keputusanku. Aku menunggu Tok Wan di kantin dengan memegang slip keputusan di tangan. Akhirnya, Tok Wan pun tiba. Tok Wan tercari-cari di mana aku berada dan Tok Wan cuba melihat senarai keputusan di papan kenyataan walaupun Tok Wan sedikit rabun. Tatkala aku menegur Tok Wan, ku titipkan sebaris senyuman sambil ku hulurkan slip keputusan kepadanya. Tok Wan tersenyum bangga dengan keputusanku.

“Pandai hang na dapat 5A. Nah, ambik ni pi beli apa hang nak.” kata Tok Wan dengan gembira sambil menghulurkan duit kertas seringgit dua keping. Mungkin jumlahnya tidak banyak tetapi sudah cukup membuat aku rasa seronok.

***
Perjalanan hidupku diteruskan dengan adanya Tok Wan yang banyak membantu. Dialah pengganti ayah yang jauh bekerja di Kuala Lumpur. Hati kecilku berbisik, kenapa aku tidak seperti orang lain yang boleh tinggal bersama-sama dengan mak ayah mereka. Ketika itu juga aku memujuk hati kecilku dengan menganggap mak dan ayah mencari duit untuk memberikan apa yang aku mahu.

Kini, aku sudah melangkah ke alam remaja dan bersekolah di SMK Convent Taiping. Sekolah ini bersebelahan dengan sekolah rendahku iaitu SK Convent Taiping. Rata-rata kawan-kawan di sekolah sudah aku kenali sejak darjah satu. Aku tidak berasa asing bersekolah di situ. Tok Wan masih menanti aku di pintu sekolah selepas waktu persekolahan tamat. Bukan aku manja atau mengada-ngada tidak mahu berdikari dengan menaiki bas sekolah tetapi Tok Wan yang tidak mahu kerana takut cucu-cucunya ditinggalkan bas sekolah.

Budaya di Convent tidak sama seperti di sekolah lain. Kami diajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan fokus untuk mencapai kejayaan. Setiap hari selepas pulang dari sekolah aku akan menghabiskan masaku dengan menyiapkan kerja sekolah. Tiada masa untuk bermain di luar atau melepak seperti anak remaja yang lain. Kadang-kala aku tiada masa untuk berehat tetapi Tok Wan sentiasa ada untuk membantuku. Tok Wan akan menggosok baju sekolah dan mencuci kasut sekolah. Aku pernah memberitahu Tok Wan supaya tidak melakukan semua itu kerana aku sudah besar dan aku mampu untuk membuatnya sendiri tetapi Tok Wan tetap berdegil. Begitulah aktiviti harian aku yang hanya menghabiskan masa remajaku di sekolah dan di rumah. Mungkin bagi kamu yang membaca kisah ini merasakan ianya kisah hidup yang membosankan tetapi bagiku ianya mengajar aku untuk tidak terlalu mengikut kata jiwa remaja yang meronta-ronta inginkan kebebasan. Aku sentiasa patuh mengikut arahan dan nasihat Tok Wan. Walaupun Tok Wan garang tetapi dia tetap berikanku sedikit kebebasan untuk keluar bersama kawan-kawan dan melibatkan diri dalam aktiviti di sekolah.

Tok Wan dan atok tidak pernah membuat aku rasa kekurangan. Mereka akan selalu menghadirkan diri bagi program-program yang dianjurkan di sekolah bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM. Walaupun Tok Wan mempunyai penyakit gout tetapi Tok Wan tetap juga datang untuk memberi sokongan kepadaku untuk terus berjaya. Tok Wan terpaksa bersila di atas tikar bersama-sama ibu bapa pelajar yang lain untuk majilis bacaan Yassin untuk kami yang akan menduduki peperiksaan. Tok Wan tetap juga hadir walaupun jalannya tidak lagi selaju orang lain. Aku sangat hargai pergorbanan Tok Wan yang tidak pernah lupa untuk hadir majlis bacaan Yassin semasa aku hendak menduduki peperiksaan PMR dan SPM.

Alhamdulillah aku berjaya mendapat 8A untuk PMR. Sekali lagi aku dapat melihat senyuman bangga daripada raut wajah tua Tok Wan. Itu sahaja yang mampu aku lakukan untuk membalas jasanya yang banyak mendidikku. Aku mendapat tawaran sekolah berasrama penuh di Taiping iaitu Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS) dan Sekolah Vokasional di Shah Alam. Namun, aku memilih untuk setia di Convent dan masih tinggal bersama-sama Tok Wan.
***

Sewaktu aku di tingkatan lima, kesihatan Tok Wan semakin membimbangkan. Penglihatan Tok Wan semakin kabur. Tok Wan perlu menjalani pembedahan mata. Pembedahan tersebut berjaya dilakukan dan doktor menasihatkan supaya Tok Wan berehat di rumah selama beberapa bulan. Jadi tugas Tok Wan menghantar dan menjemput kami dari sekolah dihentikan. Kami menaiki bas untuk ke sekolah tetapi Tok Wan tetap degil mahu menghantar kami ke sekolah.

Tok Wan masih setia menungguku di pintu sekolah selepas aku menghadiri kelas tambahan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM. Beberapa bulan sahaja lagi aku akan menempuhi peperiksaan SPM dan kemudian aku boleh tinggal bersama-sama mak dan ayah seperti orang lain. Itulah cita-citaku sejak kecil. Aku ingin cepat habis belajar kerana ayah pernah berjanji yang ayah akan bawa aku kembali tinggal bersama mak dan ayah selepas aku habis sekolah. Aku sangat teruja untuk merasai impianku itu. Tiada yang lebih membahagiakan bagiku selain menghabiskan masa bersama mereka yang aku sayangi.

Oktober 2011
Doktor mengesahkan Tok Wan mengalami masalah jantung dan perlu dibawa ke Institut Jantung Negara. Pada mulanya aku sangkakan Tok Wan hanya sakit biasa yang masih boleh dirawat di Hospital Taiping tetapi kesihatan Tok Wan semakin teruk. Ayah membuat keputusan untuk membawa Tok Wan, atok dan adik-adikku ke Sg Buloh. Aku tidak dapat ikut bersama kerana peperiksaan SPM semakin hampir. Aku akan tinggal bersama nenek saudara sepanjang ketiadaan mereka. Emosiku mulai terganggu. Aku tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan untuk menghadapi SPM apabila memikirkan kesihatan Tok Wan. Aku mula memikirkan apa yang akan aku lakukan bila ditinggalkan sendirian di sini. Siapa yang akan hantar aku ke sekolah masa SPM? Siapa yang nak jaga makan minum aku sepanjang Tok Wan dan atok tiada di sini? Semangat untuk berjuang mula sedikit goyah.

Walaupun semua persoalan ini bermain di fikiranku namun tidak sesekali aku berputus asa. Aku tekad untuk mendapatkan keputusan yang baik dan aku ingin sekali untuk meraikan kejayaanku bersama Tok Wan seperti sebelum ini. Dengan tekad yang jitu ini, aku sudah mula terbayangkan raut wajah Tok Wan tersenyum lebar melihat kejayaanku. Bagi diriku, senyuman penuh makna daripada Tok Wan itu sahaja yang dapat memadamkan kegelisahan aku.  Aku tetap terus bersemangat untuk melakukan yang terbaik untuk SPM supaya dapat melihat lagi senyuman manis Tok Wan saat aku mengkhabarkan berita gembira itu. Bak kata pepatah melayu, “Sepuluh tahun bah melanda kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang”. Rakan-rakan dan cikgu-cikgu di sekolah juga banyak memberi semangat dan dorongan kepadaku untuk terus kuat menghadapi dugaan yang Allah berikan kepada aku sekeluarga.

14 November 2011
Hari pertama aku menduduki peperiksaan SPM. Seperti selalu setiap kali aku ingin menghadapi peperiksaan, aku akan menangis terlebih dahulu kerana aku takut jika aku tidak berjaya untuk mendapatkan keputusan yang baik. Di saat inilah aku memerlukan sokongan dan kata-kata semangat daripada orang-orang tersayang. Ayah dan mak akan menelefon aku setiap hari bagi memaklumkan tentang kesihatan Tok Wan dan menanyakan khabarku dan keadaan aku di Taiping.

15 November 2011
Tarikh ini akan aku ingat sampai bila-bila. Hari ini hari jadi Tok Wan! Selepas tamat peperiksaan kertas Bahasa Inggeris, aku segera pulang ke rumah dan menelefon Tok Wan untuk mengucapkan selamat hari lahir. Suara Tok Wan kedengaran sangat lemah tetapi Tok Wan tetap merahsiakan keadaannya yang semakin teruk akibat berlaku pendarahan yang agak teruk. Mugnkin Tok Wan tidak mahu membuatkan aku risau dan mengganggu fokus aku yang sedang menghadapi peperiksaan. Aku berbual-bual dengan Tok Wan agak lama. Tok Wan lebih banyak bertanyakan keadaan aku di sini berbanding menceritakan keadaan kesihatannya.

2 Disember 2011
Akhirnya aku selesai menghadapi peperiksaan SPM. Aku segera memaklumkan kepada ayah untuk cepat-cepat pulang untuk berjumpa dengan Tok Wan. Aku sudah tidak sabar untuk tinggal bersama mereka di sana.
***

Tok Wan tidak lagi segagah dahulu. Tok Wan kini hanya mampu berbaring di atas katil. Tok Wan tidak mampu lagi untuk berjalan kerana mengalami kerosakan kedua-dua buah pinggang. Sebenarnya, sejak tahun 2005 lagi doktor telah memaklumkan kepada Tok Wan bahawa sebelah buah pinggangnya telah kecut dan memerlukan Tok Wan menjalani rawatan dialisis. Bayangkan hampir 6 tahun Tok Wan hanya bergantung dengan sebelah buah pinggangnya untuk terus hidup dan hampir 6 tahun juga Tok Wan merahsiakan hal ini daripada pengetahuan kami semua. Tok Wan tidak pernah menceritakan kesakitan yang dirasainya.
Kini, Tok Wan perlu menjalani rawatan dialisis dua hari sekali di Shah Alam. Setiap pagi atok dan maksu akan membantu Tok Wan membersihkan diri. Aku pula ditugaskan untuk menyuapkan makanan dan memastikan ubat dimakan mengikut waktu. Begitulah rutin harianku sepanjang menunggu keputusan SPM diumumkan. Ayah dan maksu bergilir-gilir untuk membawa Tok Wan untuk membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur. Aku turut menemani Tok Wan untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Keadaan Tok Wan semakin lemah dan bergantung sepenuhnya kepada anak-anak dan cucu-cucu untuk menjaganya seperti dalam peribahasa Cina, “Apabila kamu menyimpan seorang tua di dalam rumah kamu, seolah-olah kamu memiliki suatu barang yang amat berharga”.

30 Januari 2012       
Pagi itu, Tok Wan sudah kelihatan sangat lemah. Aku, maksu dan mak membuat keputusan untuk membawa Tok Wan ke Hospital Sg buloh. Tok Wan ditahan di wad kecemasan zon sederhana. Aku dan yang lain menanti di ruang menunggu sehinggalah...
“Waris kepada Haji Abdull Malik Bin Mohd Isa, sila ke zon sederhana.” panggil seorang jururawat. Hanya seorang sahaja yang dibenarkan masuk. Mak segera pergi berjumpa dengan doktor yang merawat Tok Wan. Doktor mengatakan Tok Wan sudah tidak mampu untuk memberi respons atau tindak balas apabila namanya dipanggil. Doktor terpaksa menahan Tok Wan lebih lama di wad tersebut. Keesokkan harinya, Tok Wan dimasukkan ke wad CCU. Tok Wan disahkan dijangkiti kuman. Keadaan ini sangat membahayakan kesihatan Tok Wan.

 Setiap hari ada sahaja khabar yang kurang baik yang disampaikan oleh doktor. Doktor menyatakan peluang untuk Tok Wan terus hidup hanya 50%. Namun kami sekeluarga tetap berfikiran positif dan sedaya upaya untuk memulihkan Tok Wan. Sampailah satu tahap di mana doktor meminta seorang waris untuk menangani surat persetujuan untuk melakukan pembedahan bagi memotong sebelah kaki Tok Wan yang telah dijangkiti kuman. Sel-sel kaki kanan Tok Wan sudah mati. Kaki tersebut perlu dipotong. Apabila melihat kaki kanan Tok Wan memang kami terpaksa bersetuju walaupun berat hati untuk membenarkannya. Ini semua demi menyelamatkan nyawa Tok Wan. Kami juga melihat kaki kiri dan kedua-dua tangan Tok Wan juga mula menunjukkan tanda-tanda seperti kaki kanan tangan. Ya Allah, apakah kaki kiri dan kedua-dua tangan Tok Wan juga akan dipotong nanti? Aku sudah tidak mampu menahan sebak apabila melihat kaki kanan Tok Wan yang sudah tiada selepas pembedahan tersebut. Kaki itulah yang banyak berjasa kepada Tok Wan dan aku. Kaki itulah yang Tok Wan gunakan untuk menghantar dan menjemputku di sekolah. Tapi kini, Tok Wan sudah terlantar lesu.

9 Februari 2012
Tok Wan mulai nazak. Ayah menelefonku di rumah supaya bersiap sedia untuk pulang ke Taiping sekiranya berlaku sesuatu kepada Tok Wan. Aku dan adik-adik segera bersiap untuk ke hospital. Aku sangat terkejut kerana baru semalam aku melihat kesihatan Tok Wan semakin baik. Setibanya di hospital, sanak saudara sudah ramai menunggu di luar wad. Aku dan adik-adik masuk ke dalam bilik di mana Tok Wan ditempatkan. Aku dapat melihat wayar-wayar dan alat bantuan pernafasan sudah dicabutkan. Doktor sudah mengesahkan Tok Wan sudah tiada harapan dan hanya menunggu ajalnya tiba. Aku sudah mula rasa sebak dan cuba untuk menerima segala takdir yang telah ditentukan olehNya. Aku dan ahli keluarga yang lain bergilir-gilir menjaga dan membacakan surah Yassin untuk Tok Wan. Kami bermalam di sana bagi menemani saat-saat akhir Tok Wan

10 Februari 2012
Aku, ayah, mak, maksu dan atok sudah dapat merasakan yang Tok Wan pergi meninggalkan kami apabila melihat denyutan nadi yang terpapar pada alat di sisi Tok Wan yang menunjukkan turun naik denyutan nadi. Maksu dan ayah membisikkan kalimah syahadah di telinga Tok Wan. Tepat jam 12.45 tengahari, Tok Wan menghembuskan nafas terakhirnya dan pergi meninggalkan kami. Air mata sudah tidak mampu ditahan lagi.

Jenazah Tok Wan dibawa ke bilik mayat untuk dimandikan, dikafankan serta disembahyangkan sebelum dibawa pulang ke Taiping. Aku dan adik-adik menaiki van jenazah bagi menemani perjalanan terakhir Tok Wan. Perasaan sedih masih mampu dikawal namun saat van jenazah melalui jalan yang selalu Tok Wan lalu sewaktu menghantar dan mengambilku dari sekolah membuatkan aku menangis hiba. “Tok Wan, dulu Tok Wan selalu bawa Ika lalu sini setiap kali Tok Wan hantar dan ambil Ika dari sekolah tetapi sekarang Ika pula yang bawa Tok Wan lalu sini.” kata hatiku berbisik sayu. Kini baruku sedar yang ini adalah perjalanan terakhir aku bersama Tok Wan. Saat tiba di masjid Tekkah, kelihatan ahli keluarga dan kawan-kawan Tok Wan menanti untuk melihatnya buat kali terakhir.

Arwah Tok Wan tidak sempat melihat keputusan SPM aku. Walaupun aku tidak mendapat straight A’s seperti sebelum ini dan hanya mendapat 8A untuk SPM tetapi aku yakin sekiranya Tok Wan masih ada Tok Wan pasti bangga dengan kejayaan ini dan memberikan senyuman seperti selalu yang Tok Wan berikan.
***
Kini, aku sudah berusia 20 tahun dan sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Aku ingin meneruskan kejayaan dalam bidang pendidikan. Bagiku tanpa pengorbanan Tok Wan mungkin aku tidak berjaya seperti sekarang. Aku akan terus berusaha untuk melakukan yang terbaik sebagai tanda menghargai jasa Tok Wan yang telah hampir dua tahun meninggalkanku.

Sebelum aku mengakhiri kisah ini, aku memohon kepada semua pembaca agar dapat sedekahkan AL-Fatihah buat ‘guru’ yang telah banyak mendidik dan mengajarkanku erti hidup yang sebenar.


Sekian, terima kasih.





_eyka al anuar

Share Your Love #002 [Guru]




 Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca


Puisi yang bertajuk Guru Oh Guru diungkapkan oleh mantan Sasterawan Negara iaitu Datuk Usman Awang mengiktiraf guru sebagai insan mulia yang bertungkus-lumus dalam mencurahkan ilmu dan bakti demi mendidik anak bangsa menjadi insan permata negara. Apabila meneliti dan memahami setiap bait-bait puisi tersebut, setiap insan yang bergelar anak murid pasti akan berasa sebak dalam mengenal betapa besarnya jasa dan pengorbanan seorang guru. Profesion perguruan dikatakan   kerjaya mulia kerana guru sanggup berkorban dan terkorban dalam mendidik dan memelihara anak- anak didiknya dari  kecil  hingga dewasa mengajar apa  itu  erti kehidupan. Justeru, sememangnya jasa  dan  pengorbanan seoranguru  perlu  dihargai  dan  disanjung, walaupun dengan satu senyuman keikhlasan daripada pelajarnya.


Tidak dinafikan bahawa pengorbanan seorang guru begitu besar. Antaranya sentiasa melayan segala ragam dan rengekan anak-anak didiknya yang sentiasa kehausan ilmu pengetahuan. Si guru selalunya akan meninggalkan dan melupakan sebarang masalah mahupun kepenatan yang ditanggungnya dalam mencurahkan ilmu dan bakti kepada anak didiknya supaya mereka menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara suatu hari nanti. Bagi seorang guru  segala rengekan anak didiknya ibarat hiburan tanpa bayaran  yang menjadi batu loncatan dan semangat untuk terus berjuang dalam memimpin anak bangsa ke puncak kejayaan. Tegasnya, ketabahan dan kesabaran seorang guru melayan pelbagai ragam anak didiknya tidak dapat dibalas dengan wang ringgit mahupun segunung intan permata. Sedutan bait-bait puisi yang


bertajuk Dia Yang Bernama Pendidik menjelaskan lagi bertapa besar pengorbanan seorang guru.


Meski sejuta kemewahan dipersembahkan Imbalan itu tidak bisa menukarkan Kepedihan, keperitan dalam perjuangan Tersemat keazaman membentuk insan


Si dia bukan meraih simpati

Bukan jua sanjungan ingin dimiliki Hanyalah mencanai batu menjadi insan Kalam Ilahi tetap dinanti.


Peranan seorang guru tidak akan ada perhentiannya demi mendidik anak bangsa, malah mereka lebih mengambil perhatian dengan memantau perjalanan anak didiknya melebihi anaknya sendiri. Namun, ada segelintir anak muridnya tidak memahami dan mengerti tujuan sebenar seorang guru tersebut malah sanggup melontarkan kata-kata kesat kerana beranggapan tindakan seorang guru menjaga tepi kain mereka. Alangkah hampa dan sayunya perasaan seorang guru lantaran tanggapan sebegitu rupa oleh anak didiknya. Ingat guru merupakan ibu bapa kedua semasa berada di bangku persekolahan, jika dirujuk dari aspek agama, berpaling muka terhadap seorang ibu dianggap berdosa apatah lagi melontarkan kata-kata kurang sopan kepada mereka. Guru mana yang ingin melihat anak-anak didiknya hancur dalam pelajaran dan kehidupan. Justeru, sebagai seorang pelajar perlulah bersyukur kerana mempunyai seorang guru yang terus menerus mengambil berat dan perhatian terhadap para pelajarnya.


Semasa di alam persekolahan guru di ibarat bagai menatang minyak yang penuh sama seperti seseorang ibu terhadap anaknya dalam menjaga dan mendidik pelajarnya. Guru sentiasa memastikan di dada para pelajarnya penuh dengan ilmu sama ada ilmu dunia dan  ilmu  akhirat.  Seorang  guru  bersusah  payah  berusaha  mencari  mekanismmahupun kaedah yang terbaik dalam penyampaian ilmu kepada pelajarnya bagi memudahkan lagi pemahaman pelajarnya. Malah guru juga sanggup berkorban wang ringgit  bagi  menyediakakemudahan  kepada  anak-anak  didiknya  yang  berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan seperti menampung pembiayaan yuran persekolahan, wang  saku  dan  sebagainyaGuru  sayang  akan  anak  didiknya  dan sentiasa memberi ilmu pengetahuan yang mencukupi supaya mereka faham hanya ilmu yang  lengkap  membolehkadan  memastikan  anak-anak  didiknya  mengharungi pelbagai cabaran hidup pada era modenisasi kini yang berpaksikan kepada kemajuan teknologi semata-mata.


Tamsilnya, anak didiknya ditimpa kecelakaan, menghidapi penyakit, bercana dan sebagainya sudah pasti hati seorang guru menjadi hiba dan pilu memikirkan bagaimana keadaan anak didiknya. Selepas habis waktu persekolahan guru sanggup mengorbankamasa  demi  menziarahi  pelajarnya  di  rumah  mahupun  di  hospital sebagai tanda melahirkan rasa simpati dan kasih sayang ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi pelajarnya, guru tidak datang dengan lenggang- lenggong tanpa sebarang buah tangan tanda kasihnya seorang guru akan anak didiknya. Di samping itu, guru juga sanggup mengutip derma di setiap penjuru sekolah tanpa memikirkan kepenatan mahupun segan silu bagi meringankan bebanan keluarga pelajarnya. Jelaslah bahawa ungkapan warisan Melayu guru jasamu dikenang, budimu disanjung   buka maina mahupun   omonga kosong Ha in kerana setiap pengorbanan guru mestilah dikenang oleh setiap anak didiknya. Tiada kata-kata mahupun ungkapan mulia kecuali terima kasih cikgu.


Tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh, betapa besar pengorbanan seorang guru dalam mendidik anak bangsa supaya mempunyai jiwa yang bertamadun. Tanpa guru siapalah kita kerana merekalah yang mengajar kita apa itu erti kehidupan. Lagipun guru telah berjaya membentuk dan melahirkan generasi berwawasan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam memenuhi hasrat dan melaksanakan visi dan misinya mencapai berstatus negara maju dan pendapatan tinggi pada tahun 2020. Oleh itu, ayuh anak bangsa bangkitlah bersama-sama menghargai jasa dan bakti setiap titik peluh mereka


dengan menghadiahkan sebuah kejayaan yang mampu membuat mereka tersenyum kerana Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi. Terima kasih cikgu.


_Syabab Islam